
SEREMBAN, 28 Julai 2026 – Barisan Nasional (BN) memilih untuk kekal berendah diri dan menganggap gabungan itu sebagai ‘underdog’ dalam saingan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini.
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pendirian tersebut penting bagi memastikan jentera parti tidak bersikap mendabik dada atau overconfident, sekali gus mengelakkan sebarang kekhilafan sepanjang tempoh kempen yang berbaki.
” kita memang underdog dalam perkara ini. Sebagai parti gabungan yang underdog, kita bekerja dengan penuh rendah diri dan merayu kepada para pengundi di seluruh Negeri Sembilan agar memberikan peluang semula kepada kami.
”Pegangan sebagai underdog ini penting untuk jentera parti supaya tidak terlepas pandang mana-mana kumpulan sasaran, biarpun sekecil mana kumpulan itu,” katanya pada sidang media, di sini.
Ahmad Zahid turut mengulas laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengenai peratusan keluar mengundi awal yang sangat tinggi melebihi 88 peratus. Beliau menyifatkan ia sebagai petanda positif dan berharap trend tersebut berterusan pada hari pengundian kelak.
Mengulas mengenai sasaran kerusi serta desas-desus bakal calon Menteri Besar Negeri Sembilan, beliau menegaskan keutamaan BN ketika ini adalah untuk melepasi garis kemenangan terlebih dahulu.
”Sebagaimana yang dinyatakan Setiausaha Agung UMNO, kita ada calon-calon yang berwibawa. Namun, kita akan kemukakan yang terbaik apabila kita melintasi jambatan itu kelak (when we cross the bridge),” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau mengulang janji manifesto BN untuk menawarkan 50,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh lima tahun serta pemerkasaan latihan TVET bagi membolehkan tenaga kerja muda menerima gaji premium di Negeri Sembilan.
#BeritaAAC #PRNNegeriSembilan #ZahidHamidi #BarisanNasional
