
KUALA LUMPUR, 7 Ogos 2026 – Keputusan Timbalan Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar yang mengumumkan untuk bercuti daripada jawatannya disifatkan sebagai bukti kukuh bahawa parti berkenaan sedang mengalami pergolakan dalaman yang semakin meruncing.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Seri Gulam Muszaffar Gulam Mustakim mendakwa, desas-desus mengenai penderitaan dan ketiadaan Nurul Izzah dalam arus perdana politik yang didedahkannya sebelum ini kini terbukti sahih.
Menurut beliau, langkah mengambil cuti tersebut dipercayai bagi menjaga “optik” parti serta mengelakkan rasa malu kepimpinan PKR, walaupun desakan asal adalah untuk melepaskan jawatan sepenuhnya.
”Berita yang saya dengar dan dedahkan berulang kali berhubung ketiadaan Nurul Izzah di arus perdana politik terbukti benar. PKR ini sedang bergolak teruk dan berada pada tahap meruncing, sehinggakan tiga Ahli Parlimen PKR yang rapat dengan Rafizi Ramli turut disekat peruntukan. Unsur tikam menikam jelas sedang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Bagaimanapun, Gulam Muszaffar menarik perhatian bahawa di sebalik kemelut yang melanda parti itu, Menteri Dalam Negeri yang juga Setiausaha Agung PKR dan Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilihat sebagai individu yang paling beruntung.
Jelas beliau, walaupun Saifuddin tewas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), laluan kerjaya politik beliau terus melonjak tanpa perlu bersusah payah bertanding hebat seperti pemimpin lain.
”Kalah bertanding di PRU15, dilantik Senator dan dapat jawatan Setiausaha Agung PKR. Lepas pemilihan PKR, dapat pula Setiausaha Agung PH, dan sekarang bila Nurul Izzah bercuti, beliau dapat memangku jawatan Timbalan Presiden. Rezeki tidak pernah salah alamat,” ujarnya.
Mengulas lanjut, beliau menyifatkan situasi terkini dalam PKR ibarat “yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran” di mana kedua-dua kem utama dalam parti tersebut kini berputih mata.
Beliau turut menyampaikan ucapan tahniah kepada Saifuddin dan berseloroh bahawa sekiranya berlaku sebarang perkara kepada Presiden PKR, Saifuddin adalah calon Perdana Menteri yang “paling tepat” dari kem parti itu.
#PolitikMalaysia #KemelutPKR #SaifuddinNasution #NurulIzzah #BeritaAAC
