Month: January 2026

KUALA LUMPUR — Ketua UMNO Bahagian Kepong, Tpr Abdul Razak Abdul Rahman menegaskan bahawa akar umbi UMNO perlu melihat isu membabitkan Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, secara lebih realistik dan tidak terpengaruh dengan sentimen yang dimainkan pihak tertentu.

Menurut beliau, hakikat yang perlu diterima ialah Datuk Seri Zahid merupakan antara individu terawal yang tampil mempertahankan Datuk Seri Najib Razak, khususnya berkaitan isu addendum yang menjadi perhatian umum.

“Apabila isu addendum timbul, Datuk Seri Zahid adalah antara orang pertama yang memfailkan afidavit bagi mengesahkan kewujudan dokumen tersebut. Itu bukan perkara kecil. Sebagai Timbalan Perdana Menteri, beliau mempertaruhkan kedudukan dan jawatannya sendiri untuk mempertahankan kebenaran,” katanya.

Tambah beliau, tindakan itu membuktikan bahawa Zahid sanggup mengambil risiko politik yang besar demi memastikan keadilan ditegakkan, walaupun terpaksa berdepan tekanan daripada pelbagai pihak.

Menurutnya lagi, ahli UMNO perlu memahami realiti politik semasa, di mana parti itu tidak lagi berada di tampuk kuasa mutlak, dan segala keputusan kerajaan bukan berada sepenuhnya dalam kawalan UMNO.

“Dalam situasi ini, sesiapa sahaja yang memegang jawatan Presiden UMNO pasti akan menjadi sasaran serangan, fitnah dan tohmahan. Itu adalah realiti politik. Kita tidak boleh terpengaruh dengan naratif pihak lawan yang sengaja mahu memecah-belahkan parti,” katanya.

Beliau turut mengingatkan ahli parti supaya tidak terperangkap dengan sentimen yang melaga-lagakan kepimpinan, khususnya antara Datuk Seri Najib dan Datuk Seri Zahid.

“Sejarah membuktikan, Datuk Seri Zahid memainkan peranan penting memastikan UMNO terus wujud. Bahkan, ketika era pemerintahan Tun Dr Mahathir selama 22 bulan, wujud tekanan agar UMNO dibubarkan, namun beliau memilih untuk mempertahankan parti walaupun berdepan risiko peribadi,” jelasnya.

Tegas beliau, Datuk Seri Zahid tidak pernah berhenti berusaha mencari jalan dan ruang perundangan bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan terhadap Datuk Seri Najib.

“Setiap peluang dan saluran yang ada telah digunakan. Kita yakin beliau sedang berusaha melalui strategi dan saluran yang sah untuk memastikan keadilan dapat dicapai,” katanya lagi.

#UMNO #ZahidHamidi #NajibRazak #SolidaritiUMNO #KeadilanUntukNajib #PolitikMalaysia #IsuSemasa #AkarUmbiUMNO #BeritaPolitik #AACMedia

KUALA LUMPUR — Isu kebangkitan semula idea Muafakat Nasional (MN) kembali mencetuskan polemik apabila Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Azam Rauzan, secara terbuka mempertikai niat sebenar PAS serta menegaskan UMNO tidak wajar terperangkap dalam permainan politik lama yang pernah mengkhianati parti itu.

Mengulas persoalan yang dibangkitkan oleh seorang ahli akar umbi dikenali sebagai Kak Gee, Dr. Azam berkata istilah Muafakat Nasional sendiri sudah menimbulkan trauma dalam kalangan penyokong UMNO kerana sejarah pahit yang pernah berlaku sebelum ini.

“Bila sebut Muafakat, saya terus teringat bagaimana UMNO pernah diperlakukan. Kita berjuang, berkorban, tetapi akhirnya kita yang ditinggalkan apabila mereka sudah kuat bersama pihak lain,” katanya.

Menurut beliau, kerjasama terdahulu antara PAS dan Bersatu jelas memperlihatkan bagaimana UMNO diketepikan, malah diperlakukan seperti “kambing” walaupun telah banyak berkorban demi kestabilan politik Melayu-Islam.

Dr. Azam turut menyentuh dakwaan kononnya wujud usaha baharu untuk menghidupkan semula kerjasama politik tersebut, termasuk gesaan oleh beberapa tokoh PAS yang mahu “berpaut” kembali kepada UMNO.

“Bagi saya, biarlah PAS uruskan dahulu negeri-negeri yang mereka tadbir. Jangan terlalu ghairah bercakap soal perpaduan, sedangkan masalah dalaman sendiri pun belum selesai,” katanya.

Beliau turut mempertahankan kepimpinan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, yang disifatkan tenang, berhemah dan tidak mudah melatah walaupun diasak pelbagai tekanan politik.

Dalam masa sama, Dr. Azam menegur segelintir pemimpin muda yang dilihat terlalu agresif mengeluarkan kenyataan menjelang Perhimpunan Agung UMNO (PAU), sambil mengingatkan bahawa kesatuan parti perlu diutamakan berbanding agenda peribadi.

“Jangan kita ulang budaya lama. UMNO bukan parti yang suka tebuk atap, bukan parti yang mengkhianati kawan. Kita ada disiplin, ada hierarki, ada adab,” tegasnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa rakyat sedang memerhati dan UMNO tidak wajar terjebak dengan permainan politik pihak lain yang hanya mahu mengambil kesempatan.

“PAS boleh cakap apa saja. Tapi UMNO kena kekal tenang, bersatu dan fokus. Jangan ulang kesilapan lalu. 26 itu kekal 26,” katanya merujuk kepada kekuatan parti ketika ini.

#UMNOBersatu #TolakMuafakatLama #PolitikMatang #DrAzamRauzan #ZahidHamidi #UMNOBukanMainan #JanganUlangSejarah #PolitikBerprinsip #BeritaAAC #SuaraAkarUmbi

KUALA LUMPUR, 2 Januari 2026 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini tampil membuat laporan dan menggesa siasatan menyeluruh dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung satu kes pelaburan kebun buah-buahan yang disyaki tidak wujud, melibatkan kerugian mencecah lebih RM210,000.

Menurut Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin bin Hashim, pihaknya menerima aduan daripada seorang mangsa yang mendakwa telah diperdaya oleh seorang individu yang menawarkan peluang pelaburan dalam projek penanaman buah-buahan, khususnya buah markisa, di sebuah daerah di negeri Melaka.

Menurut kenyataan itu, mangsa mula berkenalan dengan individu terbabit sekitar awal tahun 2025. Individu tersebut didakwa memperkenalkan dirinya sebagai seorang usahawan berjaya dan memiliki beberapa projek berskala besar, sekali gus meyakinkan mangsa untuk melabur dalam projek pertanian yang kononnya bakal memberikan pulangan lumayan.

Mangsa kemudiannya bersetuju untuk melabur sebanyak RM180,000, iaitu 30 peratus daripada modal keseluruhan projek. Daripada jumlah tersebut, mangsa telah menyerahkan wang tunai sebanyak RM147,800 serta sebuah kenderaan bernilai kira-kira RM63,000 sebagai baki modal pelaburan.

Bagaimanapun, sehingga kini, mangsa mendakwa tidak menerima sebarang pulangan seperti yang dijanjikan. Lebih mengejutkan, individu yang menawarkan pelaburan tersebut kini gagal dihubungi dan tidak lagi memberikan sebarang maklum balas berhubung status projek berkenaan.

“Tiada sebarang perjanjian bertulis dibuat, namun janji lisan yang diberikan adalah hasil tanaman akan diperoleh dalam tempoh enam bulan. Namun sehingga kini, bukan sahaja hasil tidak diperoleh, malah wang dan kenderaan mangsa juga lesap,” kata kenyataan itu.

Sehubungan itu, MHO mendesak agar pihak polis menjalankan siasatan menyeluruh di bawah peruntukan Kanun Keseksaan terhadap individu terbabit, memandangkan terdapat maklumat awal yang mendakwa individu sama pernah terlibat dalam beberapa kes penipuan lain menggunakan modus operandi serupa.

“MHO menyeru agar tindakan tegas dan segera diambil bagi mengelakkan lebih ramai orang awam menjadi mangsa penipuan pelaburan seumpama ini,” tegas kenyataan tersebut.

#PelaburanTipu #ScamPelaburan #MHO #KeadilanUntukMangsa #PelaburanPalsu #KesPenipuan #WaspadaPelaburan #BeritaSemasa #AACNews #JanganTerpedaya

KUALA LUMPUR – UMNO perlu membuka ruang seluas-luasnya bagi mempertimbangkan semua kemungkinan kerjasama politik menjelang Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), termasuk dengan Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) atau bergerak secara solo, kata Ketua UMNO Bahagian Kepong, Tpr Abdul Razak Abdul Rahman.

Menurut beliau, perkembangan politik mutakhir termasuk isu melibatkan Datuk Seri Najib Razak, isu addendum serta beberapa kenyataan dan serangan sinis daripada pemimpin DAP telah mencetuskan keperluan mendesak untuk UMNO menilai semula kedudukan dan hala tuju parti dalam landskap politik semasa.

“Apabila berlakunya rentetan peristiwa seperti kes Datuk Seri Najib, isu addendum dan juga herdikan serta kutukan sinis daripada DAP, ia telah membentuk satu naratif baharu yang memerlukan kita menilai semula kedudukan UMNO dalam mana-mana gabungan politik,” katanya.

Beliau mengakui bahawa ketika ini UMNO berada dalam Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan, namun menegaskan bahawa perancangan menuju PRU16 memerlukan pendekatan lebih terbuka dan strategik.

“Apabila kita bercakap tentang PRU16, kita tidak boleh terkunci kepada satu pilihan sahaja. Kita perlu membuka semua opsyen — sama ada bersama PH, PN atau bergerak secara sendiri — kerana matlamat utama ialah memastikan UMNO memperoleh jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan,” katanya lagi.

Tambah beliau, hakikat politik adalah setiap parti bertanding untuk menjadi kerajaan, termasuk PAS, BERSATU mahupun UMNO sendiri.

“Akhirnya semua parti mahu memerintah. Jadi kita juga perlu ada masa untuk menilai kedudukan kita, menyusun strategi, dan memastikan kelangsungan parti terus terjamin. Saya yakin kepimpinan parti akan membuat keputusan terbaik demi survival UMNO,” katanya.

#PRU16 #UMNOBangkit #PolitikMalaysia #SurvivalUMNO #PilihanRaya #PolitikSemasa #KepimpinanUMNO #AACNews #PolitikNegara #NaratifBaharu

KUALA LUMPUR — Ketua UMNO Bahagian Kepong, Tpr Abdul Razak Abdul Rahman menegaskan bahawa krisis dalaman yang melanda Perikatan Nasional (PN), khususnya di Perlis, membuktikan kegagalan gabungan itu dalam mengurus kuasa dan kepimpinan.

Menurut beliau, pergolakan yang berlaku bukan berpunca daripada campur tangan mana-mana pihak luar termasuk UMNO, sebaliknya berpunca sepenuhnya daripada perebutan kuasa sesama parti dalam PN sendiri, khususnya antara BERSATU dan PAS.

“Kes di Perlis ini adalah krisis dalaman mereka sendiri. Tiada campur tangan UMNO, DAP atau PKR. Ia berlaku kerana perebutan projek, kuasa dan kepentingan dalaman,” katanya ketika mengulas situasi politik semasa.

Beliau turut merujuk kepada kenyataan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, yang sebelum ini mengakui wujudnya perebutan projek dalam kalangan pimpinan PN. Menurutnya, konflik antara kepimpinan tertinggi PN termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Tan Sri Abdul Hadi Awang telah memberi kesan besar sehingga mencetuskan ketidakstabilan di peringkat negeri.

“Di Perlis, lima ADUN BERSATU bersama tiga ADUN PAS sendiri telah menghantar memorandum tidak percaya terhadap Menteri Besar. Ini jelas membuktikan bahawa pergolakan itu berlaku dari dalam, bukan akibat tekanan luar,” katanya lagi.

Beliau menambah, kegagalan PN mengurus sebuah negeri kecil seperti Perlis membuktikan ketidakmampuan gabungan itu untuk mentadbir negara secara keseluruhan.

“Kalau sebuah negeri kecil pun tidak mampu diurus dengan baik, bagaimana mereka mahu mentadbir negara? Belum lagi kita bercakap soal pemilihan Perdana Menteri sekiranya mereka memerintah,” katanya.

Tpr Abdul Razak turut menyeru ahli-ahli UMNO dan rakyat Malaysia agar mengambil iktibar daripada apa yang berlaku, sambil menegaskan bahawa UMNO kekal sebagai parti paling stabil ketika ini.

“Dalam UMNO, tiada lagi kem-kem. Sebaliknya dalam PN, BERSATU bergolak, PAS bergolak, DAP dan PKR juga berdepan perpecahan dalaman. Hakikatnya, hanya UMNO yang kekal stabil dan mampu membawa negara ke arah masa depan yang lebih terjamin,” tegas beliau.

#PergolakanPN #KrisisPerlis #PolitikMalaysia #UMNOKekalStabil #PNGagalUrus #IsuSemasa #BeritaPolitik #AACNews #PolitikTerkini #MalaysiaBangkit

KUALA LUMPUR — Kenyataan Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Azam Rauzan, mencetuskan perhatian apabila beliau secara terbuka mempertahankan kepimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi serta mengkritik perkembangan dalaman parti-parti lawan yang disifatkannya semakin rapuh dan tidak stabil.

Menurut Dr. Azam, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah membuktikan bahawa sokongan terhadap UMNO dan Barisan Nasional masih kukuh berbanding parti-parti lain yang gagal menunjukkan prestasi memberangsangkan.

“Kalau kita lihat keputusan PRN Sabah, UMNO dan Barisan Nasional masih menjadi parti terbesar. DAP kosong, PKR satu, PAS satu. Jadi janganlah nak sembang besar,” katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kepimpinan Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi wajar dihormati kerana kebijaksanaan dan kematangan politik yang dimiliki, selain menolak desakan supaya Presiden UMNO meletakkan jawatan.

“Orang sudah mula matang dalam politik. Tak ada siapa suruh Zahid letak jawatan. Kita hormat presiden sebab beliau tahu apa yang dia buat,” katanya lagi.

Dr. Azam turut menyentuh isu dalaman parti-parti lain, termasuk DAP dan PKR, yang menurutnya kini sedang berdepan masalah kepimpinan serta perpecahan dalaman.

Beliau turut menyifatkan situasi itu sebagai “domino effect” yang bakal memberi kesan besar menjelang Pilihan Raya Umum akan datang.

Mengulas isu dalaman UMNO, beliau mengingatkan ahli-ahli parti supaya tidak terlalu ghairah menonjolkan diri atau cuba menjadi “hero”, sebaliknya fokus kepada kekuatan parti dan kestabilan kepimpinan.

“Saya dah lihat banyak benda dalam politik. Ramai jatuh sebab dengar ‘yes boss’ semata-mata. Kita tak mahu perkara sama berlaku kepada UMNO,” katanya.

Dr. Azam turut menyifatkan bahawa keterbukaan dalam UMNO adalah kekuatan sebenar parti itu berbanding parti lain yang bertindak menghukum ahli hanya kerana perbezaan pandangan.

Beliau menegaskan bahawa UMNO perlu kekal fokus, bersatu dan matang bagi menghadapi cabaran politik akan datang, khususnya menjelang PRU akan datang.

#UMNOBangkit #PolitikMalaysia #ZahidHamidi #PRU16 #PolitikMatang #DAPGoyang #UMNOKukuh #SuaraAkarUmbi #PolitikRealiti #AACBerita

https://vt.tiktok.com/ZS5rdQWXo

KUALA LUMPUR, 1 Januari 2026 – Aktivis sosial, Dato’ Dr. Kalaivanar, tampil menyuarakan kebimbangan terhadap apa yang disifatkannya sebagai kecenderungan kenyataan berunsur perkauman yang semakin kerap timbul, khususnya melibatkan isu pengambilan pekerja dan syarat kelayakan akademik oleh sesetengah pihak swasta.

Dalam kenyataannya sempena sambutan tahun baharu, beliau menegaskan bahawa Malaysia sebagai sebuah negara berbilang kaum dan agama perlu terus dipelihara keharmoniannya, tanpa sebarang elemen yang boleh mencetuskan perpecahan dalam kalangan rakyat.

Menurut beliau, isu yang tular baru-baru ini membabitkan dakwaan sebuah rangkaian pasar raya yang dikaitkan dengan syarat kelayakan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) sebagai keutamaan pengambilan pekerja telah menimbulkan persoalan serius dalam kalangan masyarakat.

“Negara kita ada sistem pendidikan sendiri seperti SPM yang diiktiraf secara nasional.

Ramai rakyat daripada pelbagai kaum melalui sistem itu. Jadi apabila wujud persepsi bahawa hanya pemegang UEC diberi keutamaan, ia menimbulkan rasa tidak adil dan kegusaran,” katanya.

Beliau turut menyentuh dakwaan bahawa isu ini cuba dipolitikkan oleh pihak tertentu, termasuk mengaitkannya dengan permainan sentimen kaum dan tekanan politik tertentu.

Menurutnya lagi, tindakan sedemikian hanya akan mengeruhkan keadaan dan memberi kesan negatif terhadap keharmonian masyarakat majmuk di negara ini.

“Rakyat tidak mahu polemik berpanjangan. Kita mahu kestabilan, peluang pekerjaan yang adil, dan dasar yang tidak meminggirkan mana-mana kaum,” tegasnya.

Dalam masa sama, beliau menyokong seruan agar pengguna membuat pilihan bijak sebagai tanda protes aman, tanpa sebarang unsur paksaan atau kebencian, demi memberi mesej bahawa perpaduan nasional perlu dihormati.

#IsuPerpaduan #TolakDiskriminasi #MalaysiaUntukSemua #HarmoniNasional #RakyatBersatu #KeadilanSosial #IsuSemasa #SuaraRakyat #BersamaMenjagaNegara #AACBerita

KUALA LUMPUR – UMNO tidak menolak kemungkinan menerima semula bekas ahli Parlimen yang pernah meninggalkan parti untuk menyertai Bersatu, namun ia hanya boleh berlaku dengan syarat yang sangat tegas, tegas Ketua Penerangan UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Azam Rauzan.

Menurut beliau, sejarah perpecahan politik Melayu seperti era Semangat 46 wajar dijadikan pengajaran, namun ia tidak bermaksud pintu UMNO terbuka luas tanpa syarat kepada golongan yang pernah mengkhianati parti.

“Kalau kita ikut sejarah, Semangat 46 dulu lebih teruk daripada apa yang berlaku hari ini. Sampai UMNO terpaksa ditubuhkan semula. Itu semua hasil permainan politik Tun Mahathir,” katanya.

Bagaimanapun, Dr. Azam menjelaskan bahawa UMNO kini jauh lebih matang dan stabil berbanding dahulu, justeru tidak mustahil untuk menerima semula mana-mana bekas ahli, tetapi dengan syarat jelas.

“Kalau mereka nak bubar parti dan kembali kepada UMNO, boleh. Tapi jangan berangan nak jadi calon. Kita tak kekurangan pemimpin. UMNO tak perlukan pengkhianat untuk jadi calon pilihan raya,” tegasnya.

Beliau turut menegaskan bahawa prinsip sama perlu dikenakan sekiranya PAS mahu menyertai Barisan Nasional (BN) pada masa hadapan.

“Kalau PAS nak masuk BN pun tak ada masalah, tapi jangan bawa masuk individu yang pernah menikam UMNO dari belakang. Saya tak mahu lihat tokoh-tokoh seperti Annuar Musa, Noh Omar dan yang seumpamanya kembali dan merosakkan kestabilan parti,” katanya.

Dr. Azam turut mengingatkan ahli UMNO supaya kekal fokus memperkukuh parti dan menjadikan PKR serta DAP sebagai pembangkang utama, bukannya membuka ruang kepada mereka yang pernah mengkhianati perjuangan UMNO.

#UMNO #PolitikMalaysia #PengkhianatPolitik #Bersatu #PAS #BarisanNasional #PRU16 #IsuSemasa #PolitikMelayu #AACNews