
KUALA LUMPUR – Isu kebanjiran warga asing khususnya etnik Rohingya di negara ini memerlukan perhatian serius dan penelitian mendalam daripada pihak kerajaan bagi mencari jalan penyelesaian yang tumpat dan tuntas.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, kehadiran golongan tersebut pada awalnya dilihat atas dasar kemanusiaan sebagai pelarian, namun jumlahnya yang kini didakwa mencecah hampir 210,000 orang menuntut tindakan yang lebih strategik.
Menurut beliau, antara langkah yang boleh diambil adalah meneroka peluang untuk menempatkan mereka ke negara ketiga atau mengadakan rundingan diplomatik bersama negara asal mereka untuk proses penghantaran pulang.
”Kita ingin membantu mereka (pada mulanya), tetapi oleh kerana dah ramai sangat, kita terpaksa pula cari negara ketiga yang nak menerima mereka, ataupun beritahu pada negara mereka balik untuk mengambil semula rakyat mereka. Itu caranya,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Mengulas mengenai penglibatan etnik itu dalam kes-kes jenayah di dalam negara, beliau mengesahkan perkara tersebut sememangnya berlaku. Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa tanggungjawab menangani isu ini tidak seharusnya diletakkan di bahu pihak polis semata-mata.
Jelasnya, biarpun pihak polis mempunyai kuasa dari segi penguatkuasaan undang-undang, peranan masyarakat dan aspek kebajikan juga amat penting dalam membantu mempermudahkan proses pemulangan mereka.
”Kalau kita dengan penguatkuasaan sahaja, kita hantar jel (penjara) sajalah, tahan sajalah… tetapi ia tidak akan ke mana. Sepatutnya kita beri mereka peluang untuk pulang balik ke negara mereka atau memikirkan bagaimana cara terbaik menyelesaikan masalah ini,” tambah beliau lagi.
#IsuRohingya #MusaHassan #PelarianMalaysia #KeselamatanNegara #BeritaAAC
